Pengenalan ‘Low Carbon City’ 2017-10-04T01:31:31+00:00

LOW CARBON CITIES FRAMEWORK & ASSESSMENT SYSTEM (LCCF)

PENGENALAN

Sebagaimana kita sedia maklum, isu perubahan iklim dan pemanasan global merupakan satu cabaran penting yang perlu ditangani secara bersepadu dan holistik oleh semua pihak. Selain daripada inisiatif pemeliharaan alam sekitar dan kekayaan biodiversiti negara, pelaksanaan dan adaptasi pembangunan lestari atau sustainable development kini menjadi agenda utama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang dinamik serta mampu meminimakan pelepasan karbon.

Pada Disember 2009, semasa Persidangan United Nation on Climate Change Conference 2009 (COP15) di Copenhagen, Denmark, Malaysia telah menzahirkan komitmen untuk mengurangkan pengeluaran karbon sehingga 40% menjelang tahun 2020 berbanding tahun 2005. Justeru, bagi mencapai matlamat berkenaan, pelbagai inisiatif harus dilaksanakan dengan segera terutama oleh kerajaan negeri dan PBT, pemaju dan sebagainya sebagai pihak pelaksana. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemaju adalah melalui pembangunan teknologi hijau. Dalam konteks guna tanah, elemen teknologi hijau telah digariskan di dalam konsep kejiranan hijau kerana ia merupakan salah satu konsep perancangan guna tanah yang penting dalam pembangunan hijau (green development) yang asas kepada pertumbuhan hijau (green growth).

Perlaksanaan pembangunan teknologi hijau yang telah dilaksanakan di beberapa buah negara didapati telah berjaya membantu mengurangkan pengeluaran karbon, kesan pulau haba (urban heat island) dan mewujudkan kualiti persekitaran hidup dan suasana yang lebih baik bagi kawasan berkenaan. Ini dibuat melalui perancangan reka bentuk pasif (passive design), penyediaan lebih banyak kawasan / ruang hijau, memanfaatkan sumber semula jadi dengan efektif dan pada masa yang sama menggunakan sumber tenaga alternatif yang boleh diperbaharui, menggunapakai konsep 3R (reduce, reuse dan recycle) dalam aktiviti harian dan sebagainya.

Pada tahun 2014, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Malaysia telah berjaya mencapai pengurangan sebanyak 33% intensiti pelepasan karbon daripada sasaran pencapaian 40% menjelang tahun 2020. Semasa Sidang Kemuncak Iklim 2015 (COP21) yang diadakan di Paris pada bulan Disember 2015, Malaysia telah memperbaharui ikrar untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45% iaitu 35% secara sukarela dan tambahan 10% secara bersyarat menjelang 2030.

 DEFINISI ‘LOW CARBON CITIES FRAMEWORK & ASSESSMENT SYSTEM’ (LCCF)

Low Carbon Cities Framework (LCCF) merupakan suatu rangka kerja penilaian atau panduan penilaian dalam pelaksanaan ‘Green Township’. Ia memberi penekanan terhadap aspek penilaian kitaran hidup (Life Cycle Assessment) dan ‘Performance Criteria’ sebagai satu pengukuran yang melibatkan aspek pelepasan gas rumah hijau (GHG). LCCF adalah satu sistem yang mengira tahap pengeluaran karbon berdasarkan penilaian kriteria prestasi yang merangkumi empat (4) elemen di dalam LCCF iaitu Urban Environment, Urban Infrastructure, Urban Transport dan Bangunan.

 Kempat-empat sektor ini telah dirumuskan kepada (Low Carbon Cities Framework) atau dikenali sebagai LCCF. LCCF pula mempunyai 4 elemen seperti berikut :

  1. Persekitaran Bandar (Urban Environment) (UE)
  2. Pengangkutan Bandar (Urban Transport) (UT)
  3. Infrastruktur Bandar (Urban Infrastruktur) (UI)
  4. Bangunan (Buiding)
 Setiap elemen ini di pecahkan lagi kepada 35 sub-kriteria yang meliputi elemen amalan hijau terbaik dan yang boleh dikira melalui kalkulator karbon.

Prestasi setiap perbandaran adalah berdasarkan rating Diamond yang mana adalah seperti berikut:-

Carbon Reduction Level Level of Achievement
100% Carbon Neutral
70-99% Best Practice 5 (BP5)
50-69% Best Practice 4  (BP4)
30-49% Best Practice 3 (BP3)
10-29% Best Practice 2 (BP2)
1-9% Best Practice 1 (BP1)

LCCF boleh dilaksanakan sama ada secara pendekatan one-system approach atau city-based approach. Pendekatan One–system melibatkan 1 kriteria di dalam LCCF contohnya sisa buangan atau penggunaan tenaga. Pendekatan City-based melibatkan kesemua 35 sub-kriteria atau sekurang-kurangya 20 sub-kriteria. Dan kaedah pelaksanaan ini adalah bergantung kepada keupayaan setiap PBT dalam melaksanakan LCCF di kawasan masing-masing. Oleh itu pelaksanaan LCCF boleh disesuaikan berdasarkan kapasiti pihak perbandaran atau mengikut keperluan.

Pendekatan yang digunakan setelah elemen tersebut di pilih samada “City Based Approach’ atau “One System Approach’.

Dibawah pendekatan ‘City Based Approach’, Tujuh (7) prospek pembangunan baru atau kawasan pertumbuhan baru / bandar baru telah dikenalpasti bagi merancakkan lagi pembangunan teknologi hijau di Daerah Sepang. Diantaranya adalah seperti berikut :

  1. Selangor Cyber Valley (SSP2)
  2. Southville City (Bandar baru Lembah Selatan)
  3. Cyber South
  4. Bandar Serenia
  5. Bandar Sunsuria
  6. Bandar Saujana KLIA
  7. KLIA Aeropolis
  8. Sepang International City

Manakala dibawah pendekatan ‘One System Approach’. Tujuh (7) Inisiatif telah difokuskan bagi meningkatkan pengaplikasian produk teknologi hijau di Daerah Sepang tanpa mengambilkira samada lokasi pembangunan di kawasan Bandar atau luar Bandar. Di antara inisiatif / produk yang dimaksuskan adalah seperti berikut :

  1. Penggunaan sistem penuaian air hujan (SPAH) ;
  2. Penggunaan lampu LED;
  3. Penggunaan sistem kuasa solar;
  4. Kaedah kawalan pembangunan untuk galakan skim teknologi hijau;
  5. Galakan / promosi sistem teknologi hijau;
  6. Kawalan dan garis panduan fasad bangunan; dan
  7. Paparan iklan di bangunan.

 Sistem ini akan berfungsi sebagai panduan yang akan mengalakkan pihak-pihak berkepentingan untuk menilai semula keutamaan mereka dalam perancangan dan pembangunan projek-projek baru dan sedia ada merangkumi strategi dalam mengurangkan tahap pelepasan karbon.

Justeru itu, bagi memastikan LCCF ini dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, maka pihak majlis telah mengambil inisiatif untuk menyediakan satu dokumen Low Carbon Cities Blueprint bagi memberikan panduan kepada pihak pemaju, kontraktor-kontraktor pembinaan, perunding profesional yang terdiri daripada perancang bandar, jurutera, arkitek, arkitek landskap, syarikat-syarikat serta jabatan-jabatan teknikal di peringkat daerah dan seterusnya mewajibkan kepada semua pihak yang berkepentingan untuk mematuhi elemen dan kriteria yang telah ditetapkan.