Way Forward by President MPSepang 2017-10-02T04:22:06+00:00

WAY FOWARD BY PRESIDENT, SEPANG MUNICIPAL COUNCIL
Ucapan aluan Yang DiPertua, MPSepang ini dipetik semasa program  ‘EXPERT TALK CYBERJAYA : LOW CARBON CITIES BLUEPRINT 2025’ anjuran : MAJLIS PERBANDARAN SEPANG Dengan Kerjasama : LOW CARBON CITIES & SUSTAINABILITY CENTRE, MALAYSIAN INSTITUTE OF PLANNERS 23 MAC 2016 (RABU), 8.30 Pagi – 1.00 Petang, HOTEL SAMA-SAMA, KUALA LUMPUR INTERNATIONAL AIRPORT (KLIA). Expert Talk ini disampaikan oleh Puan Norliza Hashim yang merupakan salah seorang yang terlibat secara langsung dalam penyediaan buku / garispanduan LCCF yang disediakan untuk KeTTHA.

 

Assalamualaikum wr. Wbt. Dan salam sejahtera.

Yang Berusaha saudari pengerusi majlis,

Y.D.M Tengku Dato‘ Dr. Jamaluddin bin Tengku Mahmud Shah Al-Haj, Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Sepang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perunding Penduduk Zon Cyberjaya

Yang Berbahagia, Puan Rogayah Kadir, Setiausaha Bahagian Kanan, Sektor Teknologi Hijau, Kementerian Tenaga, teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)

Yang Berbahagia, Puan Norliza Hashim, Pengarah LCCSC, Malaysian Institute of Planners (MIP)

Yang Dihormati, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai, Majlis Perbandaran Sepang

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang dapat hadir sesi ‘Expert Talk’ ini. Sebagaimana sedia maklum bahawa Cyberjaya telah dipilih sebagai pelopor atau perintis bandar hijau dan kerajaan telah mengumumkan untuk mengurangkan pengeluaran intensiti pengeluaran karbon sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2020. Menyedari kesan pemanasan global dan komited bagi memerangi fenomena global ini, Pihak Majlis secara dasarnya telah bersetuju untuk memperuntukan bajet bagi menyediakan kajian “Low Carbon Cities Blueprint’ khususnya untuk Bandar Cyberjaya’ untuk dilaksanakan pada tahun 2016.

Akhir-akhir ini, kesan pemanasan melampau ini dapat dirasai dalam negara kita dan mitigasi bagi mengatasi permasalahan ini perlulah ditangani secara bijaksana. Kajian atau penyediaan “Low Carbon Cities Blueprint’ dilihat signifikan dan penting untuk memastikan semua agensi sama ada dari sektor kerajaan dan juga sektor swasta khususnya pemaju dapat mematuhi ‘LCC Blueprint’ yang disediakan.

Di Cyberjaya, pihak MPSepang telah mengambil pendekatan untuk memfokuskan dan menggalakan pihak pemaju untuk membina lebih banyak bangunan yang mempunyai ciri-ciri teknologi hijau. Galakkan ini dibuat melalui Skim Rebat Cukai Taksiran sebanyak 5 peratus bagi bangunan komersil yang mendapat akreditasi bangunan hijau. Sehingga kini terdapat 11 bangunan yang telah dapat dan dalam proses mendapat penarafan bangunan hijau. Selain daripada itu, pihak Majlis juga telah berjaya membangunkan ‘Green Nomad Stall’ yang menggunakan tenaga solar, pemasangan lampu led dan telah memenangi Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan. Pihak Majlis juga menggalakkan komuniti melaksana inisiatif melalui Program Kebun Kejiranan dan Dusun Komuniti dimana pihak Majlis telah berjaya memenangi tempat ketiga dalam Anugerah Pembangunan Mampan pada tahun 2015.

Blueprint Bandar Rendah Karbon dan Sistem Penilaian atau lebih dikenali sebagai LCCF ini juga akan diselaraskan dengan Pelan Strategik MPSepang dan Rancangan Tempatan MPSepang 2025 (Penggantian) yang kini diperingkat publisiti awam. Selain itu, Blueprint Bandar Rendah Karbon Cyberjaya ini juga akan mengambilkira pendekatan Kerajaan Negeri melalui ‘Blueprint Smart State’ atau ‘Smart Selangor’ yang memberikan penekanan terhadap ‘Internet of Thing’ (IOT) yang mana penggunaannya bukan setakat IT dan ICT tetapi merentasi pelbagai agensi untuk kemudahan orang awam. Walaubagaimanapun, elemen yang ditakrifkan sebagai ‘smart cities’ dan ‘green cities’ juga akan diambilkira di dalam penyediaan LCC Blueprint ini.

Justeru itu, bagi memastikan LCCF ini dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, maka adalah penting untuk semua Ketua Jabatan dan Pegawai MPSepang mengetahui apa itu ‘Low carbon Cities’ dan cara mengaplikasikan.

Objektif Expert Talk pada hari ini adalah  untuk :

  1. Memahami dengan lebih jelas berhubung keperluan menyediakan dan melaksanakan ‘Low Carbon Cities Blueprint 2015’ khususnya bandar Cyberjaya dan lain-lain bandar di Daerah Sepang ;
  2. Memahami dengan lebih mendalam mengenai 4 Elemen LCCF (Low Carbon Cities Framework) dan semua ‘performance criteria’ ; dan
  3. Meningkatkan pemahaman mengenai aplikasi dalam LCCF serta peranan pelbagai jabatan di Pihak Berkuasa Tempatan (MPSepang) ;
  4. Membincangkan isu-isu yang menghalang kelancaran pelaksanaan pembangunan bandar rendah karbon ;

Selaras dengan moto Majlis Perbandaran Sepang iaitu bersih, hijau dan sejahtera, pihak Majlis sentiasa mengadakan dialog dengan penduduk Daerah Sepang melalui peranan Ahli-ahli Majlis yang juga berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perunding Penduduk mengikut zon masing-masing.

Harapan saya semoga sokongan dan kerjasama ini dapat berterusan kearah menjadikan Daerah Sepang termasuk bandar Cyberjaya ke arah sebuah perbandaran yang bersih, hijau dan sejahtera.

Pihak Majlis Perbandaran Sepang berharap ‘Expert Talk’ akan dijadikan input awal bagi memberikan hebahan awal kepada pihak pemaju, kontraktor-kontraktor pembinaan, perunding profesional yang terdiri daripada perancang bandar, jurutera, arkitek, arkitek landskap, syarikat-syarikat di Cyberjaya serta jabatan-jabatan teknikal di peringkat daerah dan juga negeri mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar khususnya untuk mengurangkan pengeluaran intensiti karbon untuk kepentingan generasi masa akan datang.

Para hadirin sekalian,

Justeru itu, Expert Talk pada hari ini merupakan komitmen awal pihak Majlis dan pihak Majlis telah merancang untuk melaksanakan dan mengaplikasi ‘carbon calculator’ sebagai salah satu prasyarat untuk kelulusan pelan pembangunan. Pihak Majlis dengan kerjasama KETTHA, MGTC, MIP, CIDB dan lain-lain agensi yang berkaitan akan melaksanakan pengaplikasian teknologi hijau tersebut untuk menambah baik pelbagai aspek teknikal dan perundangan dan seterusnya mewajibkan kepada semua pihak yang berkepentingan untuk mematuhi elemen dan kriteria yang telah ditetapkan.

Para hadirin sekalian,

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Expert Talk dan berharap supaya rumusan dan hala tuju pembangunan bandar rendah ini dapat memberikan manfaat jangka masa panjang kepada semua pihak khususnya ke arah mewujudkan perbandaran yang bersih, hijau dan sejahtera.

Saya dengan lafaz ‘bismillahhirahmanirahim’ merasmikan ‘Expert Talk Cyberjaya : Low Carbon Cities Blueprint 2025’ dan sekali gus bertekad dan mengisytiharkan cyberjaya akan menjadi bandar rendah karbon menjelang tahun 2025.

Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.